Pengajian Am STPM P1 P2 P3
Sila "Login" sekiranya anda sudah mendaftar dan sila "register" sebagai ahli. Terima Kasih kerana menyokong Forum diskusi ilmu ini.

~Admin~
Pengajian Am STPM P1 P2 P3

Forum Untuk STPM Pengajian Am
 
HomeCalendarFAQSearchRegisterLog in
"... Diharapkan ruangan forum ini memberi manfaat kepada pelajar... Gunakan sebaik mungkin segala informasi dan maklumat....Semoga Kejayaan Milik Anda... Aminnn."

Share | 
 

 karangan p.am

View previous topic View next topic Go down 
AuthorMessage
dewi wie



Posts : 13
Join date : 17/06/2013
Age : 22
Location : matu goooo

PostSubject: karangan p.am   Wed Jun 26, 2013 11:40 am

Di bawah ini, dipaparkan karangan yang ditulis oleh Mohd Syamil Akhtar bin Rizani (6A1), iaitu pelajar SMK. Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang.

      Kes keganasan rumah tangga semakin berleluasa dalam kalangan masyarakat di negara kita. Peningkatan kes berkenaan seperti duri dalam daging yang boleh mengancam keharmonian institusi kekeluargaan di negara ini. Sikap majoriti suami dan bapa yang merupakan ketua dalam sesebuah keluarga yang memukul isteri dan anak-anak serta mendera mereka untuk melakukan sesuatu pekerjaan yang bukan kemampuan mereka merupakan fenomena yang amat menyedihkan. Oleh hal yang demikian, semua pihak dalam masyarakat perlulah berganding bahu untuk menyelesaikan masalah ini. Jika perkara ini tidak dilakukan pastinya semakin banyak isteri dan anak yang akan menjadi mangsa keganasan lelaki yang dayus itu.

     Tekanan hidup yang dihadapi oleh segelintir individu dikatakan menjadi punca kes berkenaan berlaku. Tekanan untuk meneruskan kehidupan yang semakin mencabar individu seperti menghadapi masalah kewangan menjadi sebab individu terbabit tidak mampu lagi mengawal diri mereka daripada bertindak ganas. Di samping itu, seseorang bapa dan suami yang sering diharapkan untuk memenuhi kehendak isteri dan anak-anak mereka, dianggap sebagai bebanan oleh suami yang mempunyai masalah kewangan yang serius. Seperti sudah jatuh ditimpa tangga, suami atau bapa yang menghadapi tekanan tersebut akhirnya hilang kawalan lalu menyeksa isteri atau anak-anak dari segi mental dan fizikal. Fenomena sedemikian akan merumitkan keadaan kerana tidak ada pihak yang beroleh manfaat daripada tindakan sedemikian.

     Selain masalah kewangan, bebanan hutang yang banyak turut mengakibatkan tekanan mental yang serius terhadap seseorang itu. Seperti harapkan pagar, pagar makan padi, individu berkenan sanggup pula menjual isteri atau anak-anak kepada pihak tertentu semata-mata kerana mereka dianggap merupakan senjata terakhir yang dimiliki oleh mereka untuk melunaskan hutang. Setelah didera secara kejam oleh individu yang diharapkan bagi melindungi dan mencurahkan kasih sayang kepada mereka, kemudiannya mereka akan dipaksa untuk melakukan kerja yang mudah untuk mendapatkan wang seperti menjadi pelacur. Jika perkara yang sedemikian tidak dibendung, maka individu yang bergelar bapa dan suami tidak boleh dipercayai lagi bagi melindungi seseorang yang bergelar isteri atau anak.

     Di samping itu, masalah seperti dibebani dengan tugas yang banyak di tempat kerja turut menyebabkan seseorang individu merasakan isteri dan anak-anak boleh dijadikan kuda tunggangan. Kuda tunggangan yang dimaksudkan adalah sebagai tempat mereka melepaskan geram dan kemarahan mereka dengan cara kekerasan terhadap keluarga mereka. Jika di tempat kerja, mereka dileteri dan dimarahi oleh majikan mereka, selain dibebani dengan kerja yang banyak. Oleh itu, dendam yang terbuku dalam hati terhadap majikan mereka ditujukan pula kepada isteri dan anak-anak mereka yang sepatutnya dilimpahi dengan kasih sayang yang secukupnya daripada seorang bapa dan suami. Jika perkara yang sebegini tidak diatasi, pastinya kebahagiaan yang diimpikan dalam gerbang perkahwinan hanyalah impian yang sia-sia.

     Masalah perkelahian dan perselisihan pandangan dengan individu-individu tertentu terutamanya yang amat dihormati dan dikasihi seperti ibu bapa, adik-beradik mahupun isteri sendiri menjadi punca tekanan perasaan. Hal ini akan mendorong mereka bertindak secara kekerasan terhadap anak-anak dan isteri kerana mereka gagal mengawal emosi dan perasaan, iaitu seperti mencurah minyak ke dalam api yang marak. Seseorang isteri wajar memahami bebanan atau masalah yang sedang ditanggung oleh suami tanpa menambahkan tekanan kemarahan terhadap suami. Jika perkara sedemikian dilakukan juga, maka pertengkaran yang lebih serius akan berlaku antara suami dengan isteri yang mendorong suami memukul isterinya.

     Punca lain yang menyebabkan masalah ini berlaku ialah kegagalan mencapai sesuatu matlamat yang telah ditetapkan. Kecenderungan untuk seseorang individu bagi merasai kekecewaan yang berpanjangan tanpa sokongan individu yang dikasihi mendorong perasaan kecewa tersebut menjadi perasaan marah yang seterusnya bertukar menjadi ganas. Harapan menggunung yang diimpikan daripada keluarga seperti sokongan moral dan semangat tidak menjadi kenyataan kerana kesibukan masing-masing mendorong seseorang suami dan bapa bertindak kasar seperti memukul isteri dan anak-anak mereka. Namun demikian, perkara itu dapat dielakkan sekiranya masing-masing memahami kehendak hati orang yang tersayang.

     Oleh hal yang demikian, tekanan individu terbabit yang berpunca daripada banyak sebab merupakan faktor utama berlakunya kes keganasan rumah tangga. Jika perkara ini dapat dibendung, tidak mustahil kes ini akan berkurangan dan akhirnya tidak kedengaran lagi. Untuk mencapai matlamat berkenaan, semua pihak dalam masyarakat perlu berganding bahu dan bersatu padu agar pisang tidak berbuah dua kali. Oleh itu, sebelum kes ini mengorbankan nyawa manusia, semua pihak perlulah sedar dan bersama-sama untuk membanterasnya iaitu dengan memenuhi dada dengan ilmu agama yang sewajarnya sebelum nasi menjadi bubur.

Posted by Cikgu Mohd Khir Kassim at 1:54 PM
Back to top Go down
 
karangan p.am
View previous topic View next topic Back to top 
Page 1 of 1

Permissions in this forum:You cannot reply to topics in this forum
Pengajian Am STPM P1 P2 P3  :: PENGAJIAN AM MODULAR :: PENGAJIAN AM PENGGAL 3-
Jump to: